PUTRAJAYA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan melaksanakan kutipan khas bagi al-Quran lusuh, basah atau dokumen yang mengandungi ayat al-Quran untuk dilupuskan.
SWCorp Wilayah Persekutuan menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, kutipan khas itu bermula 1 Januari ini khusus bagi penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Menurutnya, penduduk yang ingin menyerahkan al-Quran lusuh atau basah diminta mengeringkan terlebih dahulu sebelum dihantar ke pusat pengumpulan.
“Al-Quran yang sudah kering perlu dihantar ke masjid atau surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. Pihak masjid dan surau yang telah siap kumpul bolehlah menghubungi wakil SWCorp Wilayah Persekutuan untuk dikutip dan dilupuskan,” katanya.
Katanya, kutipan akan berlangsung selama sebulan dan masjid serta surau akan dimaklumkan mengenai jadual kutipan berkenaan.
Masjid dan surau yang berminat untuk menyertai program kutipan ini boleh menghubungi Muhammad Fahmi (012-374 5935), Azlan (019-842 5442) dan Ummi Kalthum Shuib (019-4460300). – UTUSAN ONLINE