PETALING JAYA: Stesen radio terkenal, Suria FM mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan ‘Misi Bantuan Banjir Suria’ yang melibatkan seramai lebih 20 orang kakitangan termasuk semua penyampai radio.
Menurut Pengurus Besar Suria Fm, Roslinda Abd Majid atau lebih disapa sebagai DJ Lin, inisiatif berkenaan adalah sebagai tanda prihatin terhadap mangsa banjir.
Selain itu, dia dan pasukan juga menzahirkan rasa terharu dan gembira kerana kebanyakan penduduk di lokasi terlibat merupakan pendengar radio Suria FM.
“Menerusi misi pertama ini, kami berjaya mengagihkan beg bantuan Suria kepada lebih 100 buah rumah di sekitar Bentong juga ke Pusat Pemindahan sementara (PPS) di Dewan Bukit Dinding, Jerantut, Pahang.
“Kami sangat terharu kerana kebanyakan penduduk di lokasi yang terlibat merupakan pendengar Suria FM. Mereka kelihatan sangat teruja apabila menerima kunjungan penyampai kami.
“Ramai yang turut bergambar dan tak kurang juga yang mengalirkan air mata sebak melihat kedatangan kami ke rumah mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, DJ Lin juga menitipkan rasa syukur kehadrat Ilahi kerana semua urusan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir dipermudahkan.
“Misi pertama ini Alhamdulillah,Allah permudahkan bagi membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
“InsyaAllah, misi ini akan kami teruskan ke lokasi yang lain pula termasuk di Lembah Klang,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia sempat memaklumkan penyertaan syarikat korporat atau rakan-rakan penaja amat dialu-alukan untuk turut sama berkolaborasi dengan pihak Suria FM dalam menganjurkan misi seumpama ini.
Sekadar informasi, siri pertama untuk misi bantuan telah diadakan pada hari Khamis, 23 Disember lepas melibatkan dua daerah di Pahang iaitu Kampung Bukit Piatu dan Taman Harmoni di Bentong serta Kampung Bukit Dinding yang terletak di Jerantut.