Suri rumah lesap RM298,500 diperdaya ‘pegawai Tabung Haji’ - Utusan Malaysia

Suri rumah lesap RM298,500 diperdaya ‘pegawai Tabung Haji’

AMRAN MD. JUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang suri rumah rugi RM298,500 setelah diperdaya individu yang menyamar sebagai ‘pegawai Lembaga Tabung Haji’  (Tabung Haji) dan ‘Ketua Inspektor Yong’ dengan mendakwa mangsa mempunyai pinjaman RM12,900 dengan agensi itu yang belum diselesaikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Amran Md. Jusin berkata, mangsa berusia 62 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Tampoi, kelmarin. 

Katanya, wanita terbabit menerima satu panggilan daripada seorang wanita memperkenal diri sebagai pegawai Tabung Haji pada pukul pukul 11.23 pagi, 10 November lalu. 

“Suspek wanita yang menyamar sebagai pegawai Tabung Haji itu memaklumkan mangsa mempunyai pinjaman dengan lembaga terbabit sebanyak RM12,900 yang belum diselesaikan, dia kemudian menafikan ada membuat pinjaman tersebut.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada beberapa individu lain dan akhirnya seorang wanita memperkenal diri sebagai polis dengan nama ‘Chief Inspektor Yong’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata, wanita menyamar pegawai polis itu mengarahkan mangsa membuka satu akaun di sebuah bank tempatan dan mendaftarkan kemudahan perbankan internet sebelum mengarahkannya mengeluarkan semua wang miliknya dan suami.

Katanya, semua wang berkenaan kemudian diminta dimasukkan ke dalam akaun baharu itu untuk tujuan siasatan dan dikembalikan selepas siasatan selesai.

“Mangsa mengikut semua arahan tersebut antara 15 November hingga 14 Disember dengan memasukkan wang yang kesemuanya berjumlah RM298,500 ke dalam akaun yang baru dibuka. Mangsa turut memberikan kata laluan perbankan internet untuk akaun baharu itu kepada ‘Chief Inspektor Yong’ tetapi mangsa menyedari ditipu setelah gagal menghubungi penyamar terbabit,” katanya. 

Tambahnya, semakan yang dibuat mangsa pada Sabtu lalu terhadap akaun bank baharu itu mendapati baki dalam akaun telah tiada dan telah berlaku pengeluaran wang tanpa pengetahuannya.

“Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara satu hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda dan sebat. Polis Johor menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik apabila menerima panggilan telefon daripada orang tidak dikenali dan melakukan pemeriksaan terhadap kesahihan informasi dimaklumkan individu yang berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya