SHAH ALAM: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan bantuan segera membabitkan 500 unit sumber kuasa mudah alih (power bank) kepada mangsa banjir di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, bantuan segera berbentuk sumber kuasa itu disumbangkan kepada mereka yang telah dikenal pasti terkesan akibat musibah itu.
Menurutnya, bantuan itu bertujuan memudahkan mangsa untuk mengecas telefon bimbit mereka sekaligus membolehkan mereka berhubung dengan keluarga dan pihak berkuasa untuk meminta bantuan.
“Ia juga dilihat sebagai satu inisiatif kemasyarakatan dalam memberi respons untuk membantu mangsa-mangsa bencana banjir yang memerlukan bantuan dengan segera.
“Pihak kami bersimpati dengan mereka yang terkesan terutamanya di Selangor yang dikatakan kali terakhir berlaku banjir besar pada tahun 1971.
“Diharapkan dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa terutamanya dalam aspek komunikasi semasa bencana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sumbangan tersebut diterima Timbalan Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Cheras Selangor, Chew Tham Soon dan Ajutan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Cheras Selangor, Mohd. Izhan Ismail.- UTUSAN ONLINE