IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat melancarkan program Masjid Angkat Maybank Islamic dan menyaksikan penyerahan Wakalah Zakat Maybank di Masjid Jamek Medan Klebang Restu, Chemor dekat sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sultan Nazrin berkenan menunaikan solat sunat dua rakaat dan seterusnya melancarkan program tersebut dalam suasana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mengekang wabak Covid-19.
Baginda kemudiannya menyaksikan penyerahan replika cek wakalah zakat Maybank Islamic berjumlah RM98,923 daripada Ahli Lembaga Pengarah Maybank Islamic, Dali Sardar kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Sharul Azam Shaari.
Sumbangan yang disampaikan melalui 19 masjid terpilih itu bertujuan untuk membantu para pelajar daripada golongan asnaf yang kurang berkemampuan di negeri ini.
Program Masjid Angkat Maybank Islamic merupakan inisiatif untuk merealisasikan transaksi tanpa tunai di masjid-masjid negeri Perak menggunakan aplikasi Maybank QR Pay bagi tujuan infak atau derma kepada masjid berkenaan.
Di bawah inisiatif itu, setiap cawangan Maybank di Perak akan bekerjasama dengan pihak masjid di sekitar cawangan bank bagi membantu proses pendaftaran serta menyediakan kod QR untuk dipaparkan di sekitar masjid.
Setakat ini sebanyak 21 masjid telah menyertai inisiatif itu.
Selepas menunaikan solat Jumaat, Sultan Nazrin sempat bertegur sapa dengan beberapa jemaah sambil mematuhi SOP yang ditetapkan sebelum berangkat meninggalkan masjid. – UTUSAN ONLINE