PETALING JAYA: Kerinduan peminat untuk menonton aksi Liga Sepak Takraw (STL) bakal terubat apabila kejohanan bagi musim 2021/22 itu dijadualkan bermula Januari depan.
Kemeriahan STL turut dirancakkan dengan kehadiran beberapa rakan penaja termasuklah daripada syarikat perniagaan jual beli emas terkenal, Kedai Emas Anuar.
Buat julung kalinya kejohanan edisi kelapan itu mendapat sokongan penuh Penaja Utama Rasmi dan akan dikenali sebagai Emas Anuar STL 2021/22.
Perjanjian penajaan selama setahun ini meliputi pertandingan STL divisyen 1, Liga Perdana dan juga Piala Juara.
Pengarah Urusan Kedai Emas Anuar, Mohd. Khurulanuar Mhamad Noor meluahkan rasa teruja apabila menjadi syarikat emas pertama yang menjalin kerjasama besar seperti ini, sekali gus merancakkan lagi industri sukan tanah air.
“Kami sedar potensi STL yang dilihat semakin berkembang dan bukan hanya menjadi bualan peminat tempatan malah di Asia Tenggara.
“Senario sukan sepak takraw kini dilihat turut menarik perhatian pihak penyiaran luar negara, dalam usaha lonjakan jenama STL ke peringkat antarabangsa.
“Dengan komitmen bersama STL ini, kami berharap dapat memperkukuhkan dan memperluaskan lagi jaringan perniagaan serta jenama kami bukan hanya di peringkat tempatan malah hingga ke pasaran global,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE