PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang terkesan dengan banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan, maklumat lanjut mengenai pengoperasian institusi terlibat akan dimaklumkan pada 3 Januari ini setelah mengambil kira kesediaan untuk beroperasi.
“Kementerian juga menyarankan agar ketetapan pengoperasian pendidikan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan kementerian,” katanya hari ini.
Menurutnya, murid dibenarkan memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan jika pakaian seragam yang ada tidak lagi sesuai dipakai bagi sesi persekolahan Penggal 3, 2021/2022 bermula 9 dan 10 Januari ini.
Selain itu katanya, sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, ketidakhadiran tersebut tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.
Namun katanya, ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah bagi tujuan rekod.
Sebelum ini, sesi penggal ketiga ditetapkan bermula pada 2 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi Kumpulan B, namun ditangguhkan selama seminggu berikutan banjir besar yang melanda beberapa negeri di seluruh negara.
Ekoran itu, sesi persekolahan bagi sekolah Kumpulan A akan bermula pada 9 Januari 2022 manakala Kumpulan B pula pada 10 Januari 2022.