SPRM belum terima laporan rasuah berkaitan kartel Imigresen - Utusan Malaysia

SPRM belum terima laporan rasuah berkaitan kartel Imigresen

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum menerima laporan berhubung dakwaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kewujudan kegiatan kartel dalam Jabatan Imigresen Malaysia. 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mungkin timbul hasil daripada siasatan atau perkara dalaman jabatan tersebut.

“Sehingga kini, saya belum lagi menerima maklumat sebenar (berhubung) kartel yang dimaksudkan oleh pihak menteri itu.

“Kalau kami ada perkembangan terbaharu daripada pihak Jabatan Imigresen, SPRM akan lihat sama ada ia di bawah bidang kuasa kami atau pun tidak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan kewujudan kartel dalam Jabatan Imigresen Malaysia membabitkan pegawai pelbagai peringkat oleh KDN baru-baru ini.

Terdahulu, Azam hadir pada Majlis Kolokium Antirasuah Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegriti di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan di sini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

Jelas Azam, pihaknya masih belum pasti tentang kesahihan maklumat sama ada individu atau pegawai dalaman yang terlibat ada kaitan dengan rasuah.

“Saya belum pasti lagi maklumat berkaitan ‘broker’ atau orang tengah yang disebutkan itu, adakah ia berkaitan dengan rasuah atau tidak dan menjangkau masuk ke pegawai-pegawai kerajaan dalam Imigresen,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan Hamzah memberitahu pembabitan kartel itu bukan sahaja berkaitan urusan kenaikan pangkat dalam jabatan itu malah kartel itu juga dikatakan menggunakan pegawai Imigresen untuk kepentingan mereka.

Hamzah berkata, penggunaan teknologi tinggi dan aset canggih seperti data raya, digitalisasi, robotik, analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV), internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) dapat mengurangkan kewujudan kartel atau sindiket yang boleh merosakkan imej imigresen kerana ia dapat mengurangkan urusan yang memerlukan perhubungan terus antara pegawai dan pelanggan imigresen. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya