Songket diiktiraf dalam Senarai Wakil UNESCO - Utusan Malaysia

Songket diiktiraf dalam Senarai Wakil UNESCO

KAIN songket diiktiraf dalam senarai UNESCO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ratu kain tenunan Melayu iaitu songket, sekali lagi melakar sejarah apabila disenaraikan di bawah Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan  Saintik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO) pada Mesyuarat ke-16 Jawatankuasa Antara Kerajaan Untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan akhbar memaklumkan, sesi tersebut berlangsung pada 13 hingga 18 Disember secara dalam talian dari Ibu Pejabat Bandar Raya Kreatif oleh UNESCO di Paris, Perancis.

“Keputusan pencalonan songket telah diumumkan pukul 5.55 petang (waktu Malaysia) hari ini. Penyenaraian cukup berprestij ini diputuskan oleh jawatankuasa tersebut yang dianggotai oleh 24 negara anggota Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003 yang dipengerusikan oleh Sri Lanka.

“MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara telah mencalonkan songket di bawah Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO. Dokumen pencalonan warisan kebudayaan tidak ketara ini telah dikemukakan kepada pihak sekretariat UNESCO pada 31 Mac tahun lalu,” demikian kenyataan tersebut di sini hari ini.

Dalam pada itu, pengiktirafan UNESCO ini bakal meningkatkan lagi kesedaran terhadap kepentingan melindungi kelestarian seni dan warisan turun-temurun pelbagai etnik dan kaum di Malaysia, termasuk pengamal seni dan warisan tersebut.

“Pengiktirafan ini juga memberikan galakan serta motivasi kepada golongan muda untuk berkecimpung dalam seni tenunan songket, sejajar dengan permintaan dan nilai pasaran yang tinggi bagi songket.

“Komuniti pengamal atau pengusaha songket juga akan terus didorong untuk membawa inovasi baharu terhadap reka bentuk dan motif tenunan songket seterusnya memangkinkan aktiviti kajian, pembangunan dan pendokumentasian songket.

“Malah, pengiktirafan ini merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak tidak kira kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti atau individu di Malaysia untuk memastikan warisan kebudayaan tidak ketara terus dilindungi dan diperturunkan kepada generasi akan datang,” ujarnya.

Selain itu, pengiktirafan pada kali ini telah menjadikan jumlah warisan kebudayaan tidak ketara negara bertambah kepada enam dengan kali pertama iaitu makyong pada 2005 dan 2008, dondang sayang pada 2018, silat pada 2019 serta upacara wangkang dan pantun pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003 pada tahun 2013 dalam usaha untuk melindungi kepentingan warisan kebudayaan tidak ketara yang terdapat di negara ini.

“Sehingga kini, sejumlah 180 negara telah menjadi negara anggota konvensyen berkenaan serta lebih 500 warisan kebudayaan tidak ketara dari seluruh dunia telah diiktiraf di bawah senarai tersebut.

“Sebagai negara anggota, Malaysia boleh menyenaraikan warisan kebudayaan tidak ketara yang terdapat di negara ini di bawah konvensyen tersebut,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, penyenaraian itu merupakan pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia untuk warisan kebudayaan tidak ketara dan selain dapat memberikan promosi dan mengetengahkannya di peringkat dunia, ia memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan kebudayaan tidak ketara di Malaysia, sejajar Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) iaitu memfokus kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya.

“Ia secara tidak langsung akan mengangkat visibiliti Malaysia di mata dunia sebagai antara negara yang mempunyai pelbagai khazanah warisan
kebudayaan tidak ketara yang boleh menjadi tarikan pelancong serta memberi peluang ekonomi kepada negara melalui industri berkaitan.

“Pengiktirafan ini turut mengukuhkan hubungan serta jaringan kerjasama dengan UNESCO dan negara anggota yang lain dalam hal-hal berkaitan warisan kebudayaan tidak ketara di peringkat global,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya