KOTA BHARU: Mesyuarat perwakilan UMNO Ketereh meluluskan usul memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sehingga penggal ke-14 Parlimen tamat pada 2023.
Usul diluluskan sebulat suara tersebut dibacakan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian, Mat Riffin Said dalam mesyuarat perwakilan yang dirasmikan Ketua UMNO Bahagian, Tan Sri Annuar Musa petang ini.
Menurut Mat Riffin, UMNO melaluii Ismail SabrI yang juga Perdana Menteri mendapat sokongan dan mandat untuk memimpin kerajaan dan negara sekali lagi.
“Memahami bahawa negara sedang melalui fasa pemulihan dan Perdana Menteri sedang giat melaksanakan pelbagai langkah untuk memulihkan kembali negara dari aspek ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial berteraskan konsep dan aspirasi Keluarga Malaysia.
“Kita juga menginsafi bahawa rakyat masih belum selamat sepenuhnya daripada ancaman pandemik Covid-19 dan keselamatan nyawa serta kesejahteraan rakyat mesti diutamakan berbanding perkara-perkara lain.
“Maka, Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh mengambil ketetapan menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan usaha beliau untuk memulihkan kembali negara dalam aspek ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial,” katanya. – UTUSAN ONLINE