PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberikan fokus untuk memenuhi keperluan perumahan generasi muda Keluarga Malaysia dari aspek sosial dan kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aspek tersebut akan turut melibatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di mana konsep Smart Safe City akan diperkenalkan secara berperingkat bermula di bandar-bandar utama seluruh negara.
Katanya, inilah antara terjemahan hala tuju ekonomi yang bakal digerakkan pada tahun 2022.
“Perkara asas, yakni kemiskinan masih menjadi keutamaan saya. Seperti yang saya janjikan, nilai teras Keluarga Malaysia adalah Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran dan tiada seorang pun yang harus tertinggal.
“Saya sendiri akan mengetuai inisiatif Pembasmian Kemiskinan melalui penubuhan Unit Kemiskinan yang diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan daerah bagi menangani isu kemiskinan dan jurang pendapatan. Ini meliputi kemiskinan di bandar mahupun di luar bandar,” katanya dalam perutusan khas tahun baharu 2022 di sini malam ini.
Atas semangat keterangkuman yang sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memberikan fokus kepada kemajuan dan pembangunan luar bandar di serata Semenanjung, Sabah dan Sarawak.