ALOR SETAR: Skuad Sayang Wanita UMNO Kedah menghulurkan sumbangan sebanyak RM20,000 bagi membantu meringankan beban ditanggung mangsa banjir di Selangor.
Pesuruhjayanya, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim berkata, sumbangan tersebut bakal diserahkan kepada skuad Skuad Sayang Wanita UMNO Selangor pada Jumaat ini bagi membantu pihak memerlukan.
“Sebaik sahaja banjir di Selangor itu berlaku, Skuad Sayang Wanita UMNO Kedah di 15 bahagian dalam negeri ini segera membuat keputusan untuk menyumbangkan sebanyak RM1,000 dari setiap bahagian.
“Daripada jumlah asal RM15,000 yang diperoleh, Skuad Sayang Wanita UMNO peringkat negeri kemudiannya bersetuju menambah RM5000 lagi bagi menggenapkan jumlahnya kepada RM20,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Skuad Sayang Wanita UMNO Kedah di Bangunan UMNO di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, Wanita UMNO Kedah sebelum ini banyak terlibat dengan misi kemanusiaan bagi membantu mangsa banjir di negeri ini termasuk ketika kejadian kepala air di Gunung Jerai, Yan pada Ogos tahun lalu.
Justeru katanya, pihaknya amat memahami dugaan dihadapi mangsa termasuk dari segi keperluan harian.
“Kami setiap masa sentiasa berhubung dengan Skuad Sayang di Selangor bagi mengetahui keperluan mereka. Bagi memudahkan urusan, maka kami memilih untuk memberi wang tunai dan Skuad Sayang di sana akan tentukan apa yang perlu dibeli untuk diagihkan kepada mangsa.
“Namun bantuan ini tidak akan berakhir di sini, dalam masa terdekat kami akan menghantar beberapa lagi barangan keperluan seperti telekung, keperluan solat dan sebagainya.
“Jika sebelum ini Skuad Sayang dari Selangor datang membantu ketika tragedi di Yan, kini tiba masanya untuk kita membalas budi mereka,” katanya.