LIPIS: Anggota koperasi yang terjejas perniagaan berikutan bencana banjir boleh memohon bantuan sehingga RM30,000 yang disediakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, inisiatif menerusi Tabung Bantuan Bencana tersebut boleh dimohon setiap anggota koperasi menerusi sistem dalam talian SKM.
“Tabung ini memberikan bantuan kewangan sehingga RM30,000 dengan bersyarat, iaitu mengemukan laporan polis beserta gambar dan jumlah anggaran kerosakan ketika banjir yang tidak melebihi nilai RM30,000.
“Sekiranya ada perkara yang berkaitan dengan persidangan, laporan audit dan sebagainya bagi pengurusan sesebuah boleh merujuk SKM untuk memohon membantu cara penyelesaiannya serta maklumat lanjut berhubung bantuan ini,” katanya selepas menyertai program gotong-royong pasca banjir membersihkan rumah penduduk di Kampung Lubuk Kulit di sini.
Sempena program pasca banjir itu, sebanyak 74 buah rumah penduduk dibersihkan secara gotong-royong yang turut disertai empat buah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dari Seremban, Ulu Jempul, Rembau dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan. – UTUSAN ONLINE