GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) menghentikan serta-merta semua kerja-kerja tapak yang menyebabkan pencemaran Sungai Jelutong dan Sungai Pinang.
MBPP dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan, pihaknya turut mengarahkan kontraktor terbabit melakukan kerja-kerja pembersihan sehingga keadaan di tapak didapati memuaskan.
Pada masa sama katanya, MBPP melalui Jabatan Kejuruteraan turut mengeluarkan notis tunjuk sebab berhubung pencemaran sungai dan sistem perparitan akibat pembuangan sisa bahan bentonite hari ini kepada kontraktor terlibat.
Tambahnya, MBPP yang diketuai Datuk Bandar, Datuk Ar. Yew Tung Seang telah melakukan tinjauan dan menjalankan siasatan berhubung pencemaran sungai terbabit yang turut tular di dalam media sosial.
“Hasil siasatan terbabit mendapati punca pencemaran disebabkan kerja-kerja penanaman kabel bawah tanah secara ‘horizontal direct drilling’ (HDD) yang dijalankan di sepanjang Jalan Terengganu dan Jalan Hamilton.
“Kerja tersebut dipercayai menyebabkan pencemaran serius terhadap kedua-dua sungai itu akibat buangan sisa ‘bentonite’ ke dalam sungai dan sistem perparitan oleh kontraktor TNB,” demikian menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu tambahnya, pihak kontraktor TNB diarahkan memberi makum balas daripada notis tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari bermul hari ini.
Sekiranya gagal katanya, kertas siasatan di bawah Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 serta Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976 akan dibuka dan pihak bertanggungjawab akan dipanggil untuk pendakwaan.
“MBPP memandang serius terhadap semua isu pencemaran yang berlaku dan tindakan tegas dalam menanganinya akan diambil ke atas mana-mana pihak yang bertanggungjawab,” katanya. -UTUSAN ONLINE