Singapura, India lagi bagus dari Malaysia? - Utusan Malaysia

Singapura, India lagi bagus dari Malaysia?

ONG YEW SIN-TEO EE YI (AFP)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Badminton Malaysia kini ketinggalan di belakang negara yang sebelum ini dianggap lemah seperti India dan Singapura, malah kejayaan Loh Kean Yew melangkah ke final Kejohanan Dunia 2021 memberi satu tamparan hebat.

Kekalahan beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kepada pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun pada separuh akhir Kejohanan Dunia di Sepanyol kelmarin bermakna Malaysia terus kempunan untuk memiliki juara dunia sejak 1977 iaitu 44 tahun lalu.

Kekalahan 13-21, 9-21 itu juga bermakna, sudah enam tahun Malaysia tidak memiliki wakil di pentas akhir sejak Datuk Lee Chong Wei muncul naib juara di Jakarta pada 2015.

Bekas jaguh No. 1 dunia, Roslin Hashim berkata, pemain tidak harus dipersalahkan sepenuhnya atas prestasi membimbangkan ketika ini, sebaliknya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu bijak merancang persiapan mereka.

“Pemain seperti Lee Zii Jia dan Aaron Cheah-Soh Wooi Yik menyertai kejohanan ‘back to back’ (berturut-turut), jadi mereka tidak mempunyai rehat yang cukup dan mendorong kepada penurunan prestasi.

“BAM perlu bijak menguruskan jadual supaya pemain tidak menyertai kejohanan secara berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Roslin, BAM juga perlu menerima hakikat, Malaysia ketinggalan di belakang negara yang tidak memiliki kemudahan latihan sehebat negara ini.

“Sedangkan Singapura yang kurang fasiliti mampu ke final (Kean Yew, perseorangan lelaki). Kita melihat negara seperti singapura dan India sudah mula menunjukkan peningkatan.

“Seharusnya BAM membuka mata bagaimana negara yang dahulunya di bawah Malaysia sudah mampu mengatasi kita,” katanya.

Kean Yew, 24, pemain kelahiran Pulau Pinang mengejutkan dua jaguh Denmark iaitu juara bertahan, Viktor Axelsen (suku akhir) dan Anders Antonsen (separuh akhir) untuk menempah pertemuan akhir dengan K. Srikanth dari India.

Sementara itu, Roslin turut menyarankan perseorangan negara, Zii Jia agar hanya menjalani latihan intensif supaya kecederaan yang di Sepanyol dapat sembuh dengan pantas.

Zii Jia menarik diri pada suku akhir akibat kecederaan tapak kaki ketika sedang ketinggalan 21-12, 8-21, 1-11 menentang Antonsen.

Ini kali ketiga dalam tempoh dua bulan juara All England itu menarik diri akibat kecederaan, perkembangan yang dianggap tidak bagus untuk perkembangan kariernya.

“Kecederaan Zii Jia sangat membimbangkan dalam usahanya mendapatkan kembali rentak permainan, namun saya harap dia dapat menjalani latihan ringan untuk cepat sembuh,” kata Roslin.

Roslin menambah, pemain muda berusia 21 tahun, Ng Tze Yong antara yang menonjol selepas Zii Jia atas kejayaan muncul juara Australia Selatan 2019, Terbuka Poland 2021 dan Terbuka Belgium 2021 sepatutnya diketengahkan lebih kerap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya