Sindiket kartel daging didakwa lagi, gubah wang haram RM13.28 juta - Utusan Malaysia

Sindiket kartel daging didakwa lagi, gubah wang haram RM13.28 juta

CHONG Kin Kuang (kiri) dan Ng Yee Xin (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen atas 16 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM13.28 juta melibatkan kegiatan kartel daging di Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Syarikat pembekal daging sejuk beku, pengurus dan akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM13.28 juta yang dilakukan antara Oktober 2018 hingga Disember 2020.

Ketiga-tiga tertuduh, syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd., yang diwakili pengarahnya, Yong Chee Keong, 40; pengurus, Chong Kim Kuang, 48, dan akauntan, Ng Yee Xin, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Fatimah Zahari selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Sementara itu, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang lagi tertuduh iaitu pengarah syarikat, Tan Siew Huak, 42, yang masih bebas. Kesemua tertuduh masing-masing berdepan empat pertuduhan.

Mereka didakwa menerima wang hasil pengubahan wang haram sebanyak empat kali berjumlah RM13,278,625.27 daripada sebuah akaun semasa milik LY Frozen Food yang dilakukan dalam tempoh 31 Oktober 2018 sehingga 31 Disember 2020 di dua cawangan bank berbeza masing-masing di Senai, Kulai dan Taman Molek, di sini.

Atas kesalahan itu, kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda daripada jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Raihan Rithwan dan Norazihah Asmuni memohon agar mahkamah menetapkan wang jaminan RM1 juta bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun peguam, Zamri Idrus dan Saifuzaman Ab. Rahman memohon mahkamah mengguna wang jaminan sebelum ini untuk Ly Frozen Food dan Kim Kuang yang telah membayar jaminan berjumlah RM660,000 untuk pertuduhan mereka sebelum ini.

Peguam turut meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan terhadap Yee Xin memandangkan kesemuanya tidak lagi bekerja ketika ini.

Mahkamah kemudian menetapkan Ly Frozen Food dan Kim Kuang untuk membayar RM250,000 tetapi menggunakan wang jaminan yang telah dibayar untuk kes terdahulu, sementara Yee Xin diarah membayar RM150,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan.

Mahkamah turut memerintahkan agar Kim Kuang dan Yee Xin melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali selain menetapkan esok untuk sebutan semula kes.

Ini merupakan sabitan kali ketiga Ly Frozen Food, Kim Kuang, Chee Keong dan Siew Huak yang didakwa di mahkamah selepas berdepan pendakwaan melibatkan sindiket kartel daging import Februari dan April tahun ini.

Pada 2 Disember tahun lalu, kewujudan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara yang dibungkus semula menggunakan logo halal sebelum dijual di pasaran tempatan dibongkar. Kegiatan itu terdedah hasil serbuan pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai membabitkan nilai rampasan RM6.47 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN