KUALA LANGAT: Bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa sejak hari pertama kejadian banjir di daerah ini tanpa memikirkan keadaan rumah sewa yang turut ditenggelami air.
Itu pengorbanan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang bersama-sama menjalankan tugas menyelamatkan nyawa penduduk sedangkan dia juga mangsa kejadian banjir tersebut.
Pegawai bomba tersebut, Mohd. Almizan Sabaeen, 23, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang bertugas menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Labu Lanjut, Sepang.
“Sebelum ke tempat bertugas, air sudah berada di paras buku lali iaitu sekitar pukul 8 pagi hari Sabtu. Saya sudah bersiap sedia menyimpan segala dokumen penting selain barangan kerja dan barangan peribadi untuk dibawa ke balai.
“Barangan elektrik juga sudah siap sedia ditutup suis kerana sedar banjir dijangka berlaku di kampung ini. Sewaktu kejadian, saya dan dua lagi rakan juga pegawai bomba tiada di rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dia yang berasal dari Kuching, Sarawak berkata, biarpun rumah sewa mereka di Kampung RTB Bukit Changgang turut dinaiki air dan masih tidak boleh dimasuki kenderaan, kejadian tersebut tidak mengganggu fokusnya berkhidmat kepada masyarakat.
“Memang tak boleh nak buat apa, rumah sewa kami pun dinaiki air sama macam orang lain. Tetapi kami perlu teruskan khidmat kepada penduduk yang terkesan akibat banjir.
“Ada penduduk marah mengatakan kami lambat, perkara itu biasa dan saya hanya ‘pekakkan’ telinga. Hal ini memandangkan banyak tempat terjejas ekoran banjir ini,” ujarnya.
Rakan serumahnya, Adzren Jainol, 25, berasal dari Lahad Datu, Sabah berkata, dia reda dengan kejadian tersebut serta sempat menyelamatkan barangan penting termasuk kereta yang digunakan ke tempat kerja.
“Ketika kejadian, saya ditugaskan di bahagian pengurusan, jadi segala barangan penting dan kereta sudah dibawa keluar dari rumah. Saya pun tak tengok keadaan rumah dan sekarang ini, fokus kepada kerja dahulu,” katanya.- UTUSAN ONLINE