Siasatan kes buli MRSM Muar dipanjangkan ke Bukit Aman - Utusan Malaysia

Siasatan kes buli MRSM Muar dipanjangkan ke Bukit Aman

SEBAHAGIAN daripada lima pelajar yang dibawa ke mahkamah direman sehingga Sabtu ini kerana terlibat dalam kejadian buli di sebuah sekolah di Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kertas siasatan melibatkan kejadian buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar baru-baru ini, kini berada di Bahagian Pendakwaan dan Undang-​Undang (D5) Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, siasatan melibatkan lima pelajar tingkatan empat sekolah itu telah dihantar ke Bukit Aman oleh Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Kes yang berlaku di MRSM itu siasatannya sudah lengkap dan sudah dihantar ke IPK Johor sebelum dipanjangkan ke Bukit Aman dan ketika ini kita sedang menunggu arahan lanjut daripada Bukit Aman.

“Kes dirujuk ke Bukit Aman setelah ia menjadi satu kes yang mempunyai kepentingan awam. Ketika ini masih tiada sebarang tindakan pertuduhan dikenakan terhadap mereka selepas tamat tempoh reman,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor 2021 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan isterinya, Senior Asisten Komisioner Datin Zaleha Mohd. Ariffin yang juga Pengerusi Perkep Johor.

Tambah Zaharudin, siasatan ketika ini dijalankan hanya melibatkan lima pelajar berkenaan dan tidak melibatkan individu lain.

“Lima pelajar tersebut merupakan wakil pelajar yang dilantik pihak sekolah dan kejadian dipercayai berpunca akibat ketidakpuasan hati antara suspek dan mangsa.

“Ketika ini saya tidak dapat mengesahkan tindakan yang diambil pihak sekolah terhadap mereka kerana sekolah sedang bercuti,” jelasnya.

Pada 16 Disember lalu, kelima-lima pelajar berkenaan direman bagi membantu siasatan kejadian buli terhadap seorang mangsa berusia 14 tahun yang mengalami kecederaan bengkak rusuk kiri.

Kelima-lima mereka sebelum itu ditahan di sekitar Kuala Sungai Baru, Melaka; Kajang, Selangor; Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya