Si tenggiling Corona lahirkan Rahmat - Utusan Malaysia

Si tenggiling Corona lahirkan Rahmat

CORONA bersama Rahmat selepas hampir seminggu dilahirkan di PKHL Sungkai, Perak. –IHSAN PERHILITAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seekor tenggiling betina dinamakan Corona dilapor melahirkan seekor anak jantan di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungkai, Perak.

Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), anak bongsu haiwan mamalia tersebut selamat dilahirkan oleh induknya tersebut pada 20 Disember lalu.

“Si kecil berkenaan diberikan nama Rahmat dan sangat aktif selepas ia dilahirkan oleh ibunya itu,” kata kenyataan agensi tersebut menerusi laman sosial rasminya.

Anak tenggiling itu adalah ketiga dilahirkan Corona sepanjang tahun ini di PKHL berkenaan yang ditubuhkan oleh kerajaan sejak 1971 dan terletak 15 kilometer dari Sungkai. Sehubungan itu, ujar Perhilitan, proses pemantauan secara berterusan dijalankan petugas pusat tersebut bagi memastikan Rahmat sentiasa selamat dan sihat.

Corona dilahirkan pada 6 Mei 2020 oleh ibunya bernama Tara yang diserahkan orang awam kepada PKHL Sungkai pada 22 Julai 2019 sebelum ‘dikahwinkan’ dengan Lenggong. Ia muncul sebagai kelahiran pertama spesies ini dalam kurungan di Malaysia kerana tenggiling adalah hidupan liar amat sukar dibiak baka dalam kawasan berpagar dikawal manusia.

Berita kelahiran Rahmat turut tular apabila meraih lebih 4,000 tanda suka dalam masa kurang tujuh jam disiarkan Perhilitan selain hampir 200 komen dan dikongsi warganet lebih 160 kali. Program konservasi haiwan kecil berdarah panas tetapi satu-satunya mamalia yang bersisik ini adalah julung kali diadakan susulan spesies itu dikategorikan sebagai diancam kepupusan.  Haiwan yang gemar makan semut dan anai-anai ini dilindungi sepenuhnya oleh pihak kerajaan Malaysia di bawah senarai binatang Jadual 1 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya