PETALING JAYA: Shah Alam diboleh dikatakan lumpuh ekoran banjir yang melanda sekitar ibu negeri Selangor itu dengan majoriti kawasan dinaiki selain jalan-jalan utama yang menghubungkan bandar raya itu terputus.
Sehingga berita ini ditulis, ribuan orang terperangkap kerana ada yang tidak boleh keluar dari Shah Alam, sementara yang berada di luar pula tidak boleh pulang ke rumah masing-masing di Shah Alam kerana jalan-jalan utama termasuk Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah (ELITE) ditenggelami air.
Perkongsian di media sosial juga menunjukkan banyak kawasan perumahan di Shah Alam dinaiki air ekoran hujan yang berterusan sejak semalam.
Ekoran itu juga PLUS telah menutup plaza tol Shah Alam ekoran ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan.
Semua kenderaan dari utara diminta keluar di plaza tol Subang dan dari selatan pula di Seafield.
Laluan masuk ke lebuh raya PLUS di Setia Alam dan Shah Alam juga ditutup.
Para pengguna lebuh raya yang terperangkap antara Satia Alam ke Shah Alam dan Subang ke Shah Alam diminta membuat pusingan U melalui akses sementara yang disediakan PLUS.