KLANG: Kegiatan haram empat sahabat memproses dan menjual air ketum di sebuah rumah sewa sejak enam bulan lalu tumpas apabila digempur polis, Ahad lalu.
Kesemua lelaki berusia 30-an itu turut menjadikan rumah teres di Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah di sini, untuk menjual ubat batuk.
Perkara itu bagaimanapun dibongkar pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Klang Selatan yang menyerbu premis berkenaan pada pukul 12.10 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, ketika serbuan empat suspek didapati sedang memproses air ketum di dalam rumah tersebut.
Katanya, pemeriksaan lanjut pihaknya membawa kepada penemuan ratusan botol air ketum yang siap diproses dan ubat batuk.
“Kesemuanya melibatkan sebanyak 400 botol air ketum berisipadu 600 liter dan 648 botol ubat batuk (583.20 liter).
“Selain itu, kita merampas empat bungkusan daun ketum yang dianggarkan seberat 20 kilogram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, hari ini.
Jelas Hoong Fong, kesemua rampasan termasuk sejumlah wang tunai itu dianggarkan bernilai RM12,000.
“Empat suspek tiada pekerjaan tetap dan seorang daripadanya memiliki rekod lampau dadah. Mereka kini masih direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.
Tambah beliau, siasatan awal pihaknya mendapati air ketum dan ubat batuk berkenaan dijual untuk pelanggan di sekitar daerah ini.
“Air ketum itu dipercayai dijual dengan harga RM15 sebotol manakala RM10 bagi ubat batuk. Kedua-duanya dijual secara berasingan manakala daun ketum berkenaan pula disyaki diperoleh dari sekitar Klang,” katanya.