Sesi persekolahan penggal 3 2021/2022 libatkan kumpulan murid hadir bergilir atau hadir sepenuhnya - Utusan Malaysia

Sesi persekolahan penggal 3 2021/2022 libatkan kumpulan murid hadir bergilir atau hadir sepenuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menetapkan sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 bermula 9 dan 10 Januari ini melibatkan kumpulan murid yang perlu hadir bersemuka secara penggiliran atau sebaliknya.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, bagi sekolah rendah, kumpulan murid yang perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran melibatkan murid berkeperluan khas (MBK) di sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK) dan program pendidikan khas integrasi (PPKI).

Katanya, ia turut membabitkan murid prasekolah, Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 serta semua murid bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) manakala murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 pula hadir secara penggiliran.

Kenyataan itu menjelaskan, murid MBK di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan PPKI hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

“Murid kelas peralihan, Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara juga hadir secara bersemuka tanpa penggiliran sekiranya kadar vaksinasi lengkap dalam kalangan kumpulan murid tersebut di institusi berkenaan mencapai 90 peratus atau lebih.

“Pengoperasian institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih kekal secara penggiliran dan senarai institusi yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan pada setiap hari Rabu,” katanya hari ini.

Menurutnya, mana-mana institusi pendidikan yang mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan institusi boleh mula beroperasi pada hari Ahad atau Isnin minggu berikutnya tanpa penggiliran.

Sementara itu, katanya, bagi murid Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3  pula, kehadiran adalah secara penggiliran.

Kementerian turut menetapkan sekolah harian dan sekolah swasta, termasuk sekolah ekspatriat yang mempunyai enrolmen kurang daripada 300 murid beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran secara bersemuka tanpa penggiliran.

Namun katanya, bagi sekolah ekspatriat yang enrolmen melebihi 300 murid, permohonan boleh dikemukakan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya dan penilaian akan dibuat sebelum kelulusan diberikan.

“Bagi sekolah berasrama sepenuhnya, murid Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti, IBDP dan kelas peperiksaan antarabangsa yang setara hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

“Murid Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 di sekolah berasrama sepenuhnya mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya.

Kementerian Pendidikan turut memberitahu, pengoperasian Kolej Vokasional bagi murid Sijil Vokasional  Malaysia, Sijil Kemahiran Malaysia, Sistem Latihan Dual Nasional dan Diploma Vokasional Malaysia adalah secara bersemuka tanpa penggiliran mulai 9 Januari ini.

Bagi pengoperasian kolej matrikulasi pula, katanya, pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka bermula pada 9 Januari untuk Program Matrikulasi Sistem Dua Semester dan Program  Matrikulasi Sistem Empat Semester.

“Bagi Institut Pendidikan Guru (IPG) pula, semua program pengajian akan memulakan kuliah secara bersemuka mulai 6 Februari depan, mengikut kalendar akademik yang sedang berkuat kuasa.

“Murid kolej matrikulasi dan IPG yang menerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan kembali ke kolej atau kampus, selaras dengan Garis Panduan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi 3.0,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya