GEORGETOWN: Seorang parah manakala lima lagi cedera ringan dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah tongkang di Gat Lebuh Macallum, Pengkalan Weld, di sini pagi ini.
Kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu menyebabkan mangsa terbabit terpaksa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas diberi rawatan awal.
Jurucakap bomba negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pukul 10.54 pagi dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah tongkang dengan anggaran peratusan kemusnahan kira-kira 20 peratus.
“Terdapat enam mangsa terlibat dengan seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah dan diberi rawatan awal di lokasi kejadian. Lima mangsa lagi mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan. Kebakaran dapat dikawal pukul 11.08 pagi dan dipadamkan pukul 1130 pagi tadi,” katanya. – UTUSAN ONLINE