KOTA TINGGI: Seorang lelaki maut manakala enam petugas Kementerian Kesihatan (KKM) cedera selepas terlibat kemalangan di Kilometer 58.0, Jalan Johor Bahru-Mersing, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, polis menerima panggilan kejadian melibatkan dua buah kenderaan iaitu Proton Wira dan Toyota Innova milik Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) pada pukul 8 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati seorang lelaki berumur 50 tahun memandu Proton Wira dari rumahnya di Perumahan Tersusun Mawai Baru untuk ke tempat kerja di kilang proses batu di Jalan Mawai.
“Semasa sampai di lokasi kejadian kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan berpusing disebabkan terdapat batu-batu di atas jalan lalu memasuki laluan bertentangan.
“Pada masa sama, sebuah Toyota Innova yang datang dari arah Johor Bahru menghala ke Mersing gagal mengelak lalu bertembung dengan Proton Wira berkenaan.
“Ekoran itu pemandu Proton Wira mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan lima penumpang Toyota Innova mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE