Semasa kecil minat melukis, dewasa ukir replika bot - Utusan Malaysia

Semasa kecil minat melukis, dewasa ukir replika bot

MOHD. SAHFRAN Suran menunjukkan replika bot kajang Tembeling antara kraf tangan yang dihasilkan untuk dijual kepada pelanggan di Taman Desa Gemilang di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pengusaha kraf tangan, Mohd. Sahfran Suran, 45, mempunyai kemahiran mengukir bot (perahu) kajang Tembeling secara komersial sehingga hasil kraf itu sudah banyak mengisi ruang almari kaca pejabat kerajaan, rumah dan restoran ternama.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Sahfran yang tinggal di Taman Desa Gemilang di sini berkata, ketika di sekolah menengah, dia gemar melukis poster termasuk gambar bot kajang Tembeling serta pernah memenangi pertandingan pe­ringkat daerah.

“Setelah dewasa, saya mula mempelajari kemahiran membuat bot kajang daripada arwah bapa, Suran Jaafar yang menggalakkan saya supaya mewarisi serta menyuburkan seni kraf tangan penduduk Hulu Tembeling yang menggunakan perahu (bot) kajang sebagai pengangkutan utama Sungai Tembeling sejak 600 tahun lalu.

“Minat, semangat dan bakat melukis yang sedia ada lalu diterjemahkan dalam bentuk ukiran mengubah rutin pada mulanya membuat kraf tangan ini secara ‘suka-suka’ kepada lebih serius dan komersial.

“Lagipun banyak permintaan untuk cenderamata berasaskan replika bot kajang daripada pelancong, pejabat kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu untuk maj­lis persaraan, anugerah perkhid­matan, hadiah kepada insan tersayang dan sebagainya menyebabkan replika ini menjadi pilihan utama,” katanya di sini semalam.

Jelasnya, dia mengambil masa tiga hari menyiapkan replika bot yang tidak berbumbung manakala yang berbumbung mampu disiapkan dalam masa enam hari bergantung permintaan pelanggan.

Katanya, untuk tahan lama serta menonjolkan seni kreativiti yang eksklusif menyerupai bot kajang Sungai Tembeling yang sebenar, setiap tempahan perlu dibuat awal sebulan ke­rana ia memerlukan penelitian.

Ini kerana katanya, dia perlu mencari kayu yang sesuai, ringan, lembut dan tahan se­perti kayu pulai serta kayu jelutung di hutan berdekatan untuk membuat bahagian replika, iaitu lunas, papan timba, bingkai, papan sandar, lantai, dinding air, haluan dan bumbung.

Lebih menarik, dia turut mengukir tangki minyak daripada kayu tersebut dan mengecat bagi menampakkan bot kajang Tembeling ‘tulen’ menggunakan enjin yang lazimnya digunakan oleh bot penambang yang membawa pelancong dan penduduk di Taman Negara Kuala Tahan dan perkampungan Hulu Tembeling.

“Harga replika bot ini ber­asaskan saiz dan kreativiti khususnya memenuhi kehendak pelanggan. Biasanya yang tidak berbumbung berharga antara RM400 hingga RM600, manakala replika bot berbumbung pula serta hiasan cat dan varnis melebihi RM600 serta kadang-kadang mencecah RM1,500 sebuah,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Sahfran yang mempunyai tiga anak berusia sembilan hingga 15 tahun itu berkata, dia ‘tidak menang tangan’ malah kerap dihubungi pelanggan untuk membuat tempahan replika bot sebagai cenderamata untuk hadiah dan majlis tertentu.

Katanya, jabatan kerajaan dan pihak berkuasa beruniform yang kerap membuat tempahan iaitu, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Daerah Jerantut, Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Perhuta­nan, Majlis Daerah dan beberapa agensi di daerah ini dan luar.

Menurutnya, tempahan replika bot kajang Tembeling atau mereka yang ingin mempelajari selok-belok kemahiran ber­kenaan boleh menghubungi­nya di talian 0179518687 atau 01114938725 dan juga laman sosial Facebook Fran Zafran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya