PETALING JAYA: Ketiadaan empat tonggak Harimau Malaya menjelang pertemuan dengan Vietnam dalam aski Kumpulan B Piala AFF malam ini tidak menjejaskan motivasi skuad bimbingan Tan Cheng Hoe.
Bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam berkata, dia yakin Malaysia akan turun dengan semangat yang tinggi selepas mereka memulakan kempen tersebut dengan langkah kanan apabila mengatasi Kemboja dan Laos.
“Kalau kita tengok statistik, Vietnam antara pasukan yang mampu muncul juara. Sukar untuk menewaskan mereka lebih-lebih lagi mereka sudah serasi kerana rata-rata mereka daripada barisan skuad bawah 23 tahun.
“Saya yakin Cheng Hoe ada formula tersendiri untuk menewaskan juara bertahan tersebut. Malaysia menewaskan Kemboja (3-1) dan Laos (4-0) dengan jurang gol yang baik.
“Jadi, kita boleh lihat motivasi mereka meningkat dan Harimau Malaya hanya perlu memperkemaskan beberapa taktikal selain menyusun semula kesebelasan utama susulan ketiadaan empat tonggak kebangsaan.
“Saya fikir, fokus dan moral mereka tidak akan terjejas biarpun kem negara dilanda masalah tersebut,” kata bekas kapten Selangor itu ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Harimau Malaya semakin ‘susut’ selepas Faisal Halim, Khairulazhan Khalid, Akhyar Rashid dan Quentin Cheng terpaksa diketepikan apabila didapati positif Covid-19.
Mengulas lanjut, Shahrom yakin Malaysia mampu mencatat kemenangan ke atas skuad Golden Dragon Warriors dalam saingan ketiga peringkat kumpulan di Stadium Bishan, Singapura nanti.
Harimau Malaya tidak pernah mencatat kemenangan ke atas Vietnam dalam lima pertemuan terakhir, dengan seri sekali dan selebihnya tewas.
Kali terakhir Malaysia menang pada Disember 2014 menerusi 4-2 dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala AFF.