KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan digesa untuk menangani masalah rancangan pembangunan semula Kampung Baru, di sini, yang didakwa gagal diselesaikan sejak sekian lama.
Walaupun kerajaan telah berusaha mengeluarkan dana besar untuk tampil dengan pelan induk pembangunan di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu, Kampung Baru bagaimanapun masih belum dibangunkan ketika ia dikatakan bakal memanfaatkan penduduk-penduduk asal di situ.
Siri pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan antara lain dilihat mempengaruhi proses pembangunannya malah ia terus dikaitkan dengan ‘pengaruh politik’ menyebabkan hasrat membangunkan semula Kampung Baru tidak menjadi kenyataan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, penyelesaian masalah Kampung Baru mesti bermula dengan aspek pemilikan tanah keluarga-keluarga di kawasan itu yang dijangka memakan masa selama dua hingga tiga tahun.
“Ramai pemilik asal sudah pun meninggal dunia dan urusan faraid dalam kalangan keluarga oemilik mesti diuruskan secara sistematik untuk membuktikan mereka ada pewaris-pewaris baharu bagi menentukan pemilikan tanah secara sah.
“Masalah pemilikan tanah di Kampung Baru amat kompleks. Contohnya, terdapat lot tanah seluas 1,000 kaki persegi dan mempunyai pendaftaran pemilik seramai 84 orang.
“Pemilikan yang begitu ramai ke atas sebidang tanah yang kecil menyukarkan penduduk mencapai kesepakatan dalam membuat keputusan bagi membangunkan lot-lot mereka ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Pembangunan semula Kampung Baru dihuni oleh majoriti orang Melayu bandar raya yang terletak di tengah-tengah ibu negara, ia sentiasa menjadi isu panas dan usaha pembangunannya sering terbantut kerana penduduk kurang yakin selain pemaju memberi nilaian tanah rendah dan tidak berbaloi.
Keadaan kawasan itu sangat daif selain jalan raya sempit, rumah sesak dan kemudahan infrastrukturnya kurang walaupun berhampiran dengan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Baru-baru ini, penduduk sekitar Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, mengadakan bantahan projek pembangunan semula kawasan tersebut yang dianggap berat sebelah dan menindas mereka.
Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) amat sebati dengan semua penduduk asal Kampung Baru yang berfungsi menjaga segala hal ehwal pentadbiran malah mempunyai rekod-rekod penduduk di situ secara terperinci selama puluhan tahun.
Justeru, katanya, penglibatan MAS amat penting dalam membantu urusan penyelesaian harta pusaka dan tanah dalam kalangan penduduk di kawasan itu.
“Malangnya, ketika Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika itu telah mengeluarkan surat pada 18 Mei tahun lalu memberitahu, MAS tiada fungsi malah tidak relevan dalam membantu menyelesaikan isu tersebut.
“Saya tidak faham, sejak penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) pada tahun 2010 pihak kerajaan bernekad memansuhkan MAS serta menganggap badan ini seolah-olah ‘batu penghalang’ kepada mereka.
“Kini, PKB tidak mempunyai wakil daripada MAS sebagai sebahagian ahli jawatankuasa bagi tujuan sumber rujukan atau sebagai anggota untuk semak imbang bagi pihak penduduk-penduduk yang memiliki lot-lot tanah di kampung ini,” katanya.
Kata Khairuddin, MAS mesti dikekalkan sebagai badan yang memberi input sejarah pemilikan tanah-tanah Melayu di kawasan itu manakala PKB dan Persatuan Anak-Anak Kampung Baru sebagai badan semak dan imbang bagi menghalang sebarang salah guna kuasa oleh kerajaan atau mana-mana pihak.
“Bagi menjamin kejayaan pelaksanaan pembangunan kampung ini terutama dalam mengekalkan hak milik hartanah orang-orang Melayu di Kuala Lumpur tidak terhakis, satu perancangan teliti, jujur, amanah dan berintegriti mesti dipikul semua pihak dengan baik dan amanah,” katanya. – UTUSAN ONLINE