TEMERLOH: Mayat seorang remaja lelaki yang lemas selepas mandi bersama sepupunya di sungai Jambatan Keretapi, Kuala Krau, di sini ditemukan kira-kira pukul 5.20 petang ini.
Mangsa, Ahmad Lais Hirraz Mohd. Syara, 22, berasal dari Kampung Paya Teras, Kuala Krau di sini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa ditemukan pada hari ketiga pencariannya.
“Kira-kira pukul 5.20 petang, mayat mangsa dilihat timbul di permukaan sungai oleh anggota polis yang membuat tinjauan melalui atas jambatan. Perkara itu dimaklumkan kepada pasukan penyelamat bomba yang membuat pencarian dengan menggunakan bot di sekitar lokasi kejadian.
“Jarak kedudukan mayat mangsa dengan lokasi kejadian adalah 30 meter. Mayat mangsa dinaikkan dan serahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE