Sekolah zakat diwujudkan di setiap daerah di Kedah   - Utusan Malaysia

Sekolah zakat diwujudkan di setiap daerah di Kedah  

SYEIKH Zakaria Othman (barisan hadapan, dua kanan) dan Syeikh Fadzil Awang (barisan hadapan, kanan) bergambar bersama wakil-wakil syarikat yang hadir ada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Oleh Syarikat-Syarikat Korporat di Menara Zakat, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bercadang mewujudkan sekolah zakat di setiap daerah di negeri ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelajar daripada golongan miskin mendapat pendidikan lebih baik untuk mengubah nasib keluarga mereka pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, setakat ini, pihaknya memiliki tiga sekolah zakat iaitu Maahad Dini Sultan Abdul Halim cawangan Suka Menanti dan Tahfiz Ulul Albab di Mergong di sini, serta Maahad Dini Sultan Abdul Halim cawangan Sik di Kampung Belantik, Sik.

Dalam masa terdekat, katanya, sebuah lagi Maahad Dini Sultan Abdul Halim bakal dibuka di Kulim dengan segala urusan berada di peringkat akhir dan kemasukan pelajar dijangka dimulakan pada 2023.

“Kita berasakan anak-anak daripada keluarga miskin jika tidak dibantu mungkin sukar untuk mereka bersaing dari segi keselesaan, kemampuan dan cara berfikir untuk mengubah masa depan.  Mereka dibesarkan dalam keluarga miskin dengan ketua keluarga mungkin terpaksa lebih memikirkan hal berkaitan urusan makan dan minum berbanding urusan pelajaran anak-anak.

“Jadi anak-anak ini kita bantu dan letakkan di sekolah-sekolah zakat itu. Setakat ini sudah ada tiga sekolah zakat di Kedah dan kita akan mengambil alih sebuah sekolah agama di Malau, Kulim tidak lama lagi dengan kos baik pulih RM1.7 juta bagi dijadikan sekolah zakat keempat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Oleh Syarikat-Syarikat Korporat di Menara Zakat, dekat sini hari ini yang turut dihadiri Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN