PUTRAJAYA: Kerajaan menarik semula semua sekatan perjalanan pengembara dari negara berisiko tinggi untuk menyertai Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (GPL) dengan mematuhi keperluan yang ditetapkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dibuat susulan arahan terkini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa pengembara dari negara selain dari lapan negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara adalah dibenarkan untuk menyertai GPL.
Beliau berkata, pengembaran berkeperluan menjalankan ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RTPCR sekurang-kurangnya 72 jam sebelum bertolak ke Malaysia dan pada hari ketibaan, pengembara di Langkawi ini juga perlu menjalani ujian pengesanan menggunakan ujian RTK-Antigen (RTK-Ag) Professional pada hari ke-tiga dan hari ke-lima selepas ketibaan.
“Bagi pengembara yang membuat ujian di Langkawi pada hari ketibaan di pulau itu, mereka dibenarkan tinggal di hotel sementara menunggu keputusan ujian bagi mengelakkan perhimpunan ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan akan menerima perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) secara digital dalam aplikasi MySejahtera.
“Pengembara dari negara selain daripada lapan buah negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara adalah dibenarkan memasuki Malaysia untuk melancong ke negeri-negeri selain Langkawi dengan menjalani kuarantin wajib manakala tempoh kuarantin bergantung kepada status vaksinasi, iaitu tujuh hari untuk individu dengan vaksin lengkap dan 10 hari sekiranya tidak menerima vaksin lengkap atau tidak menerima vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, selain itu, tempat kuarantin mengikut kelulusan yang diberikan Home Quarantine Application (HQA), sama ada di rumah atau tempat kediaman atau stesen kuarantin.
Katanya, pengembara yang tidak diluluskan untuk menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman perlu membuat tempahan bilik di hotel yang dikenal pasti sebagai stesen kuarantin melalui MyTravelSafe di pautan https://safetravel.myeg.com.my.
“Mereka yang datang dari negara berisiko tinggi dan menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman akan dipakaikan peranti pengesan digital.
“Senarai negara berisiko tinggi ini akan dimaklumkan berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan dari semasa ke semasa dan senarai akan diberikan kepada Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Keperluan menjalani ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RT-PCR semasa ketibaan dan pada hari ke-5 sekiranya kuarantin selama tujuh hari atau pada hari ke-lapan sekiranya kuarantin selama 10 hari manakala penilaian risiko akan dilakukan ke atas pengembara pada hari ke-tujuh atau hari ke-10 sebelum pelepasan kuarantin,” katanya.
Utusan Online hari ini melaporkan, Khairy berkata pengembara dari negara berisiko tinggi yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dipakaikan peranti pengesanan digital sepanjang tempoh pemerhatian dan kuarantin.
“Langkah tersebut antara strategi dalam memperketatkan lagi kawalan di pintu masuk negara sekali gus mengelakkan penularan varian baharu Omicron manakala program Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) Singapura diteruskan buat masa ini dengan penambahan ujian kendiri pada hari ketiga dan ketujuh,” katanya.
Sebelum ini, Noor Hisham memaklumkan pengembara dari 26 negara atau yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara tersebut dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan untuk menyertai GPL berkuatkuasa serta-merta.
“Keputusan ini susulan penemuan Covid-19 varian Omicron (B.1.1.259) maka pemantauan dan penilaian risiko bagi menentukan negara-negara yang berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan VOC baharu ini.
Jumaat lalu, kerajaan memutuskan pengembara Malaysia yang merancang melawat Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Malawi dan Zimbabwe, adalah tidak dibenarkan, bermula keesokannya susulan penemuan varian baharu Covid-19 iaitu B.1.1.529.