TELUK INTAN: “Jeritan meminta tolong, merayu supaya diselamatkan masih terngiang-ngiang di telinga saya’.
Itu kata Sulaiman Talib, 39, seorang sukarelawan dari Klang, Selangor ketika membantu menyelamatkan mangsa banjir dengan menggunakan botnya sendiri di Taman Sri Muda, Shah Alam beberapa hari lalu.
Berkongsi lebih lanjut pengalamannya, Sulaiman berkata, sebaik sahaja banjir melanda Taman Sri Muda, dia menggunakan sebuah bot kecil untuk membawa keluar mangsa yang terperangkap.
Menurutnya, disebabkan bot yang dibawanya itu kecil, tidak ramai yang dapat dimuatkan di dalam botnya itu.
Katanya, ini menyebabkan ramai mangsa yang tidak dapat dibawa keluar dari rumah mereka yang dinaiki banjir.
“Ketika itu saya dan beberapa team lain membantu mangsa di sekitar kawasan Seksyen 25 dan Seksyen 26 Taman Sri Muda, Shah Alam. Kami dapati ramai mangsa banjir yang terperangkap di dalam rumah yang dipenuhi air.
“Di sebuah rumah, kami menemukan seorang wanita yang mahu melahirkan anak yang dapat kami selamatkan.
“Namun, disebabkan bot kami kecil, kami tidak dapat membawa mangsa-mangsa yang lain dan usaha menyelamat lebih sukar kerana bekalan elektrik ke rumah mangsa sudah terputus.
“Saya sangat sedih melihat mereka menjerit-jerit, melambai-lambai tangan meminta tolong supaya mengambil mereka bersama dalam bot.
“Tapi apa daya saya, bot dari team saya bersaiz kecil, sudah penuh malah bot penyelamat yang lain juga tidak boleh bawa ramai mangsa kerana sudah penuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Berikutan itu, Sulaiman berkata, dia berusaha mendapatkan bot baharu yang lebih besar untuk membawa lebih ramai mangsa banjir.
Katanya, dia mencari bot untuk dibeli di Sekinchan dan Sungai Besar di Selangor, namun tiada.
“Akhirnya saya ke sini dan bertemu dengan seorang pengusaha river cruise, Mohd. Sahril Mustafa. Saya bertanya kepadanya jika ada sesiapa di sini mahu menjual bot.
“Dia membantu saya mendapatkan sebuah bot untuk saya dari seorang penjual di sini dan saya membelinya pada harga RM6,000, bot yang saya beli ini dilengkapi dengan enjin,” katanya.
Menurutnya, dengan bot baharu yang lebih besar, dia akan meneruskan usaha menyelamatkan mangsa banjir.
“Saya lakukan usaha ini secara sukarela tanpa mengharapkan apa-apa balasan, yang penting saya mahu menyelamatkan mereka yang kini dalam kesusahan,” katanya. -UTUSAN ONLINE