KUALA LUMPUR: Kes mengedar dadah yang dihadapi penyampai radio, Isma Halil Hamzah ditangguhkan ke 27 Januari 2022 berikutan laporan kimia daripada Jabatan Kimia Malaysia belum diperoleh.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Majistret Wong Chai Sia pada sebutan kes itu hari ini.
Pada 6 September lalu, penyampai radio terbabit didakwa atas tuduhan mengedar dadah jenis Kanabis dengan anggaran berat 409 gram pada pukul 5.35 petang, 27 Ogos lalu di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, peguam bela tertuduh, Adi Zulkarnain Zulkafli ketika ditemui memberitahu anak guamnya kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh.
“Setakat ini, anak guam saya masih direman di Penjara Sungai Buloh sehingga kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi kelak. Proses ini akan mengambil masa lama dan diharap tiada sebarang pihak yang membuat sebarang spekulasi,” katanya.
Selain itu, peguam terbabit turut memaklumkan, anak guamnya dalam keadaan sihat dan beliau tidak menerima sebarang aduan daripada Isma.
“Keadaan Isma sihat, beliau diberikan kerja dalam penjara dan tiada aduan berkaitan kesihatan. Isma juga ada kongsi tulisan tangan berkenaan keadaan beliau dalam penjara dan saya akan kongsikan di Facebook (Fb) saya hari ini.
Pada prosiding hari ini, isteri Isma, Nor Haslinda Abdul Manaf, 48, anak lelakinya yang berusia 13 tahun turut hadir. – UTUSAN ONLINE