PETALING JAYA: Azwan Omar, 29, atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Viva’ meminta orang ramai supaya berwaspada dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan namanya.
Katanya, ini kerana dia tidak pernah melantik mana-mana pihak meminta duit dan mengumpul dana di atas namanya apatah lagi mengenakan bayaran dalam mendapatkan khidmatnya.
“Assalamualaikum…hari ini ada hamba Allah yang mengatakan kepada saya ada seseorang yang menggunakan nama saya untuk mengaut keuntungan.
“Sejujurnya saya tak pernah melantik sesiapa untuk menjadi P.A (pembantu peribadi) atau orang tengah jika ingin menghubungi saya.
“Saya juga tidak pernah mengenakan apa-apa bayaran jika ingin menggunakan khidmat saya apatah lagi jika ingin bercakap dengan saya semata-mata.
“Di bawah saya akan sertakan nombor telefon saya jika ingin menghubungi saya. Saya memohon maaf jika saya terlambat atau tidak menjawab panggilan kerana mungkin saya sedang bekerja. 016-4244643,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
‘Abang Viva’ menjadi perhatian di media sosial apabila sanggup datang dari Melaka ke Lembah Klang untuk menyelamatkan mangsa banjir.
Azwan kini sudah berada di Temerloh meneruskan misinya bagi membantu mangsa banjir di daerah tersebut.
Difahamkan, Azwan yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva sambil membawa sebuah bot miliknya hanya berbekalkan RM50 hingga digelar sebagai ‘Wira Banjir’. – UTUSAN ONLINE