‘Saya hanya nak dos penggalak Sinovac’ - Utusan Malaysia

‘Saya hanya nak dos penggalak Sinovac’

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak ada masalah untuk menerima suntikan dos penggalak sebagaimana disarankan kerajaan kepada golongan berusia 60 tahun ke atas.

Tengku Razaleigh, 84, bagaimanapun berkata, sebagai penerima dua dos lengkap suntikan vaksin jenis Sinovac, beliau hanya akan menerima suntikan dos penggalak daripada jenis yang sama.

Tegas beliau, mana-mana menteri tidak boleh memaksa rakyat menerima dos penggalak jenis berbeza seperti Pfizer membuta-tuli kerana perkara itu bertentangan dengan Perlembagaan negara serta hak asasi manusia.

“Saya dulu dapat dua dos Sinovac. Kalau dos penggalak, saya hanya nak Sinovac. Saintis WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) kata, kita tak boleh campur-campur. Saya hargai diri sendiri, dan saya juga mahu rakyat jaga kesihatan masing-masing. 

“Tak bolehlah nak buat ikut suka dia campur-campur. Ini nyawa dan badan saya, kalau saya sakit, menteri itu bukannya sakit pun,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Gua Musang, di Bukit Cekati, di sini semalam.

Kelmarin media melaporkan, semua penerima vaksin Covid-19 berusia 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin dan penerima Sinovac berumur 18 tahun ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya Februari depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya kumpulan individu dinyatakan itu masih tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas Februari 2022, status vaksinasi mereka akan ditukarkan menjadi tidak lengkap. 

Kementerian Kesihatan sebelum ini dilaporkan melaksanakan pemberian dos penggalak secara heterologous kepada penerima vaksin Sinovac, iaitu jenis Pfizer sebagai dos penggalak.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata, dalam demokrasi yang dijamin Perlembagaan, tiada sesiapa pun di negara ini diberi kuasa untuk memaksa rakyat menerima sesuatu yang boleh memberi kesan kepada kesihatan mereka.

“Tak boleh buat begitu. Ini demokrasi yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Bukan saya menentang, tapi kita mesti ada pilihan untuk menjaga kesihatan diri kita. Saya bukan milik sesiapa tetapi milik Allah,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya