KUALA LUMPUR: “Kalau saya nak benda tu (rasuah), kenapa nak pergi pada Rizal? Rizal hanya pekerja biasa sedangkan saya ada suami yang tidur dengan saya. Takkan saya tidak boleh minta dia (Najib) lakukannya. Sama ada dia nak bagi atau tidak, itu terpulang kepada dia.”
Menurut Datin Seri Rosmah Mansor, beliau juga tidak pernah meminta apa-apa ganjaran daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. ketika itu, Saidi Abang Samsuddin atau meminta bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor untuk berbuat demikian bagi pihaknya.
“Saya tidak pernah minta apa-apa bantuan daripada mereka apatah lagi meminta duit,”kata Rosmah.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguam belanya, Datuk Akberdin Abdul Kader pada perbicaraan kes rasuahnya berhubung projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Tambah Rosmah, beliau sendiri telah diingatkan oleh suaminya yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berulang kali mengingatkannya agar jangan masuk campur dengan mana-mana kontraktor atau urusan perniagaan.
“You are just a wife (Awak cuma seorang isteri). Itu yang Datuk Seri Najib selalu cakap pada saya. Dia cakap lembut sahaja, tak jerit-jerit tapi saya faham maksud dia,” kata wanita terbabit.
Selain itu, Rosmah sekali lagi menyatakan, beliau telah dijadikan `kambing hitam’ oleh beberapa saksi pendakwaan untuk menyelamatkan tengkuk masing-masing.
Saksi-saksi tersebut ialah Rizal, Saidi, bekas bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad Mohamad.
“Semua melakukan pelbagai kesalahan. Mahdzir Khalid keluarkan Klausa 11 dalam kontrak kerajaan yang sepatutnya melindungi kepentingan kerajaan. Madinah keluarkan Surat Setuju Terima projek solar hibrid sehali sebelum beliau bersara sedangkan prosedur rundingan harga tidak dibuat.
“Rizal banyak buat kesalahan. Masa beri keterangan dalam mahkamah dia sendiri cakap minta dan terima duit daripada Saidi. Nak selamatkan diri masing-masing semua bekerjasama dengan AGC (Jabatan Peguam Negara) dan tuding jari pada Rosmah.
“Patut mereka didakwa bukan saya. Rizal yang terima duit tetapi dilepas bebas. Saya yang jumpa mereka (Saidi dan rakan kongsinya, Rayyan Radzwill) dua,tiga minit, saya yang kena (didakwa),”katanya.
Pada prosiding hari ini, pihak pembelaan memanggil saksi kedua mereka, bekas Pengarah Bahagian First Lady Of Malaysia (FLOM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod yang antara lainnya menyatakan dakwaan bahawa Rosmah adalah seseorang yang digeruni oleh penjawat awam adalah tidak berasas.
“Sepanjang saya bekerja dengannya, Datin Seri Rosmah tidak pernah berhubung secara langsung dengan mana-mana pegawai kerajaan. Sebaliknya interaksi beliau dengan pegawai-pegawai kerajaan adalah melalui saya sebagai pengarah dan semuanya atas urusan rasmi,”katanya.
Saksi terbabit turut menyatakan, tindakan Rizal meletak jawatan sebagai Pegawai Khas kepada isteri Perdana Menteri adalah berkemungkinan untuk menaikkan imej dan kepentingannya (importance) di kalangan mereka yang berurusan dengannya.
“Walaupun jawatan Rizal berubah sepanjang dia bertugas di Pejabat Perdana Menteri seperti Penolong Pegawai Tugas-Tugas Khas dan Ketua Penolong Pengarah Kanan namun tida terdapat nama jawatan sebagai Pegawai Khas kepada isteri Perdana Menteri,”ujar Siti Azizah.
Terdahulu, Siti Azizah memaklumkan beliau merupakan individu yang mencadangkan agar bahagian yang berperanan menyelia dan menyelaraskan program Perdana Menteri yang melibatkan isteri serta penglibatan rasmi isteri Perdana Menteri dalam program dan inisiatif Kementerian dinamakan sebagai FLOM.
“Namun, dalam proses penyusunan semula semasa tempoh pentadbiran Datuk Seri Najib, rombakan terhadap bahagian tersebut telah dilakukan. Atas tujuan penjenamaan semula, saya telah mencadangkan agar bahagian tersebut dijenamakan sebagai bahagian First Lady of Malaysia(F.L.O.M), ia adalah bersesuaian dengan nama isteri Perdana Menteri selaku Wanita Pertama Negara.
“Setahu saya, tiada penubuhan bahagian baharu di dalam Pejabat Perdana Menteri kerana bahagian F.L.O.M. merupakan kesinambungan bagi bahagian yang sedia ada,”katanya.
Perbicaran di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 10 Januari ini dengan saksi baharu iaitu Najib selaku saksi pembelaan ketiga. – UTUSAN ONLINE