YAN: Lebih 200 hektar sawah milik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan diusahakan menerusi skim estet padi bagi membantu golongan asnaf meningkatkan pendapatan pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Othman berkata, pada peringkat permulaan, seramai 11 pesawah menyertai skim tersebut melibatkan kawasan seluas 29 hektar di sini.
Menurutnya, LZNK akan menanggung kos benih, baja dan racun serta upah menuai bagi meringankan beban pesawah yang menyertai skim estet padi itu.
Katanya, LZNK turut bekerjasama dengan Bank Islam untuk menawarkan pinjaman tanpa faedah kepada pesawah tersebut sebanyak RM5,000 setiap musim menerusi pembiayaan mikro bangkit.
“Pesawah tersebut boleh menggunakan wang pinjaman itu untuk menyara keluarga dalam tempoh empat bulan sebelum hasil padi dapat dituai. LZNK akan menggunakan duit keuntungan daripada jualan hasil padi untuk membayar hutang pesawah berkenaan,” katanya selepas Majlis Pelepasan Benih Ikan Puyu Hibrid dan Serahan Pembiayaan Mikro Bangkit Pembangunan Usahawan Estet Padi di Kampung Padang Lumat, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE