TANJUNG MALIM: Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini apabila 36 penduduk dari Kampung Kuala Slim dipindahkan ekoran kediaman mereka dinaiki air.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kesemua mereka kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim selepas PPS itu dibuka pada pukul 7 petang tadi.
“Mangsa banjir terdiri daripada sembilan keluarga melibatkan enam lelaki, lapan wanita dan 13 kanak-kanak selain lapan warga emas dan seorang wanita orang kurang upaya (OKU),” katanya di sini hari ini.
Terdahulu di Teluk Intan, seramai 118 orang daripada 30 keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib susulan rumah mereka dinaiki air.
Tiga buah kampung di kawasan Changkat Jong terlibat banjir iaitu Kampung Batu 8, Lorong Kedah; Kampung Baru Batu 8 dan Kampung Batu 9,” katanya. – UTUSAN ONLINE