PUTRAJAYA: Satu lagi kes Covid-19 varian Omicron yang berkemungkinan jangkitan tempatan dilaporkan di Sarawak semalam, melibatkan lelaki warganegara China berusia 38 tahun.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pesakit kes tersebut bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Sarawak selama tiga tahun serta menjalani ujian Covid-19 pada 18 Disember kerana mengalami demam dan batuk sejak 13 Disember.
“Keputusan sampel didapati positif Covid-19 dan kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di bawah Hospital Umum Sarawak pada 20 Disember.
“Sampel kes tdihantar ke IHCM (Institute of Health and Community Medicine), UNIMAS untuk ujian genomic sequencing dan disahkan positif untuk varian Omicron pada 23 Disember,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Ujarnya lagi, kes tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh tiga tahun dan punca jangkitan belum dapat dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.
“Kes telah lengkap vaksinasi dan keadaannya stabil. Dua kontak dikenal pasti iaitu seorang pemandu kenderaan dan seorang lagi kontak sosial.
“Kedua-dua kontak ini telah diberi arahan kuarantin di stesen kuarantin untuk tempoh 14 hari dan keputusan ujian sampel pertama bagi kedua-dua mereka adalah negatif Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE