KUALA LUMPUR: Dua negeri itu yang sebelum ini berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu Sarawak dan Kelantan akan beralih ke Fasa Empat PPN berkuat kuasa 3 Januari ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan tersebut adalah berdasarkan penilaian risiko semasa yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa Empat PPN adalah sama dengan sebelum ini.
“Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, dengan peralihan fasa itu juga menandakan kesemua negeri di Malaysia sudah beralih ke Fasa Empat PPN.
“Namun dalam masa yang sama, saya menyeru kepada orang ramai agar tidak berasa terlalu selesa kerana Covid-19 masih satu ancaman kepada keselamatan dan kesihatan terutama dengan penularan varian Omicron.
“Semua pihak harus terus mematuhi SOP yang ditetapkan dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang bertungkus-lumus mengurus situasi pandemik demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN.
Bagaimanapun, beliau memberi saranan kepada orang ramai agar terus memakai pelitup muka, amal penjarakan fizikal, dapatkan dos penggalak sekiranya layak, lakukan ujian pengesanan Covid-19 secara berkala dan amalkan ujian, lapor, mengasingkan, memaklumkan dan mencari (TRIIS) sebaik mungkin.