(VIDEO) 'Sangkar' buaian pesta ria jatuh, nyaris ancam nyawa budak di Jerantut - Utusan Malaysia

(VIDEO) ‘Sangkar’ buaian pesta ria jatuh, nyaris ancam nyawa budak di Jerantut

BEBERAPA pekerja dan pengunjung cuba menyelamatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam sangkar buaian yang terjatuh di pesta ria  di  Jerantut, Pahang. - IHSAN PENGUNJUNG FUNFAIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Belum reda musibah banjir di daerah ini dan tempat lain di negeri ini, kini ada pula kejadian yang memerlukan perhatian pihak berwajib terhadap aspek pengurusan pusat hiburan dan keselamatan pengguna.

Tular dan heboh dalam laman sosial Facebook menerusi hantaran seorang pengunjung pesta ria atau fun fair di sini, berhubung insiden sangkar buaian dipercayai skru pengikatnya rosak dan terus jatuh yang nyaris mengancam nyawa anaknya serta pengunjung yang menaiki alat permainan tersebut. 

Kejadian itu dipercayai berlaku antara pukul 9 hingga 10.30 malam tadi menyebabkan suasana kecoh dan jeritan orang ramai khususnya ibu bapa yang melihat beberapa buah ‘sangkar’ jatuh yang memuatkan pengunjung termasuk kanak-kanak ketika buaian berpusing.

– TikTok EintanEjam

Pengunjung yang juga penjaga kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Eintan Ejam berkata, dia cemas melihat anak-anaknya hendak jatuh dalam buaian yang berpusing itu.

Katanya, dia juga cemas apabila sangkar itu terbalik dan cuba menenangkan tiga orang anaknya yang menjerit dan menangis ketakutan. Menerusi hantaran dalam Facebooknya, Eintan Ejam berasa kecewa dan marah dengan tindakan sambil lewa pihak pengurusan permainan buaian itu serta tidak endah dengan keselamatan pengunjung khususnya anak-anak.

Dia menasihatkan ibu bapa dan pengunjung supaya berhati-hati ketika memasuki pesta ria berkenaan berasaskan kejadian yang menimpa anaknya nyaris hendak jatuh daripada buaian yang berpusing itu. Rata-rata kenalan Eintan Ejam dan netizen meminta supaya permainan di fun fair berkenaan ditutup bagi mengelakkan risiko keselamatan pengunjung terutamanya kanak-kanak.

Ada netizen memberitahu peralatan yang dipasang pada buaian itu merupakan besi buruk yang digunakan sejak 1990-an dan daif malah tidak sesuai lagi untuk digunakan sebagai permainan. Netizen juga kecewa kerana pihak pengurusan tidak mementingkan aspek keselamatan serta gagal membuat pemeriksaan rapi sebelum alat permainan itu beroperasi untuk pengunjung.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat, Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari berkata, pihaknya kesal kerana pemilik fun fair berkenaan tidak bertanggungjawab membenarkan orang awam menaiki besi buruk yang mengundang risiko keselamatan mereka.

“Orang Jerantut sepatutnya jangan masuk fun fair yang membazirkan duit dan berbahaya pula serta penduduk masih tidak serik-serik,” katanya menerusi hantaran laman sosial FB Cikgu Izzat Johari. Terbukti fun fair tidak diselenggara dengan sempurna malahan (besi) lapuk dan berkarat. Pengendali buat tidak tahu serta tidak mahu bertanggungjawab,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya