SEPANG: Detik cemas menyelamatkan diri bersama dua anak kecil dan bapa yang merupakan pesakit buah pinggang ketika air mula sampai ke aras leher secara tiba-tiba, menjadi igauan ngeri penduduk Taman Salak Budi di sini.
Menurut Pengurus Jualan dan Pengiklanan Media Mulia Sdn. Bhd., Nor Lyanna Shorlokman, situasi itu menjadi trauma dia dan keluarga apatah lagi mengenangkan kesemua harta benda musnah termasuk barangan serta peralatan untuk rawatan dialisis bapanya terpaksa ditinggalkan.
Menceritakan semula kejadian itu, Lyanna berkata, hujan bermula pada hari Jumaat dan pada sebelah malamnya air mula naik dan sudah memasuki rumah pada pagi Sabtu.
“Kami sempat menyelamatkan diri. Saya tinggal bersama dengan suami, dua anak kecil dan juga ibu bapa. Ayah saya pula merupakan seorang pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis air setiap empat jam.
“Namun segala barangan untuk membuat dialisis itu terpaksa ditinggalkan. Ayah saya juga tidak kuat untuk berjalan sendiri dan memerlukan kerusi roda. Kami berusaha untuk menyelamatkan apa yang boleh dengan meletakkan barang di tempat lebih tinggi.
“Tak disangka-sangka air semakin naik melepasi paras leher. Ini amat mengejutkan kami kerana kejadian banjir sebelum ini hanya sehingga paras lutut sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Lyanna berkata, sehingga hari ini air banjir masih tidak surut walaupun sudah memasuki hari keempat membuatkan kondisi rumah menjadi teruk dan segalanya musnah.
Katanya, keadaan itu menyukarkan proses untuk mengemas rumah dan tiada apa lagi yang tinggal dengan segala peralatan rumah dan perabot habis rosak.
Apa yang menyedihkan, katanya, kejadian banjir ini merupakan tragedi ketiga dalam masa setahun di kawasan ini dengan jurang masa hanya dua bulan dari banjir kedua dan ketiga.
“Setiap kali banjir, paras air menjadi lebih tinggi dari sebelumnya dan kami penduduk di sini tidak boleh menjangka apa yang akan terjadi lagi kepada kamiselepas ini. Kami mohon agar pihak yang bertanggungjawab memberikan kerjasama dalam hal ini.
“Kawasan di sini sistem perparitan agak teruk, bila hujan pasti air naik dan bertakung. Majlis Perbandaran Sepang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan semua pihak terlibat perlu berbuat sesuatu,” katanya. – UTUSAN ONLINE