PENYANYI dan pengacara, Haiza Hanafi, 41, pula berpandangan bahawa seorang pengacara itu perlu sentiasa berkeinginan untuk menambah ilmu agar dapat memperbaiki penyampaian mereka dari semasa ke semasa.
Kata Haiza, masyarakat akan sentiasa menilai dan disebabkan itu seorang pengacara perlu melakukan sesuatu agar tidak dilabelkan sebagai pengacara ‘sampah’.
“Orang melabel pengacara sebagai sampah mungkin berdasarkan penyampaian mereka yang tidak berilmu. Sampai bila nak digelar sampah?
“Jadi kita kena sentiasa tambah baik, gali dan korek sebanyak mana ilmu yang perlu agar masyarakat melihat bahawa kita tidak ditakuk lama, sentiasa maju ke hadapan,” katanya.
Bagaimanapun, kata Haiza, bukan semua pelawak yang terjun ke bidang pengacaraan itu tidak bagus.Katanya, bahkan ada yang mampu menjadi menjadi seorang pengacara yang lebih baik dan dihormati.
“Contoh seperti Nabil Ahmad. Saya nampak kehebatannya. Dahulu mungkin dia bukan sesiapa, tapi lihatlah dia sekarang.
“Dia pun seorang yang rajin belajar. Tidak dinafikan, ada juga penyampaiannya yang mungkin merepek. Tapi beginilah, manusia tidak sempurna, ada ketika berbuat silap dan kita juga tidak mampu puaskan hati semua orang.
“Tetapi dengan ilmu dan keinginan memperbaiki diri, kita akan menjadi lebih baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Haiza tidak menolak bahawa gurauan-gurauan yang menyentuh sensitiviti itu sebaiknya dielakkan dalam penyampaian seorang pengacara.
Jelasnya, pengacara itu perlu berhati-hati, tidak bergurau kasar yang mengundang rasa tidak senang dan kemarahan penonton.
“Ramai yang ambil mudah gurauan bersifat double meaning dan mengaibkan. Kalau terbuat, cukuplah sekali. Jangan diulangi.
“Penonton akan meluat dan muak. Apa pun yang kita buat kena berhati-hati. Tambah ilmu, banyakkan bertanya dengan mereka yang lebih berpengalaman,” jelasnya.