JOHOR BAHRU: Sempena sambutan Hari Krismas tahun ini, Gereja Immaculate Conception di sini hanya membenarkan seramai 200 penganut agama itu menghadiri upacara keagamaan sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) norma baharu.
Paderi, Claurence Motoyou berkata, kehadiran itu adalah 50 peratus daripada jumlah sebenar pengunjung yang mampu ditampung gereja berkenaan.
“Krismas kali ini kita masih lagi menjalankan SOP ketat yang mana hanya 200 orang dibenarkan masuk pada satu masa ke dalam gereja. Jika tanpa SOP, gereja ini boleh memuatkan seramai 400 orang.
“Kita juga sentiasa mengingatkan mereka untuk mengekalkan jarak satu meter di antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Motoyou berkata, pihaknya turut mensanitasi rumah ibadat berkenaan pada setiap 30 minit bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan pengunjung.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar raya ini mendapati, jalan-jalan utama lengang, namun majoriti masyarakat mengambil peluang cuti umum yang jatuh pada hari minggu untuk mengunjungi pusat beli belah.
Bagaimanapun, SOP ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan pandemik Covid-19 seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal tetap dipatuhi.
Dalam pada itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Krismas kepada rakyat Malaysia yang menyambut perayaan tersebut.
“Merry Christmas. Wishing you a very happy and joyous Christmas. May your home be filled with love, peace and joy always,” titah Baginda dalam laman Facebook rasmi Sultan Johor.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad turut mengucapkan selamat menyambut Hari Natal khusus buat semua penganut agama Kristian yang meraikannya.
“Sambutlah perayaan ini dengan penuh keharmonian dan kegembiraan. Patuhi SOP sentiasa walau di mana jua anda berada,” tulisnya dalam laman Facebook beliau. – UTUSAN ONLINE