LONDON: Ketika ramai peminat-peminat Reds bimbang bakal kehilangan Mohamed Salah, pengendali Liverpool Jurgen Klopp tampil meredakan keadaan itu.
Jelas Klopp, beliau meminta peminat bersabar tatkala Liverpool berusaha memeterai perjanjian untuk mengekalkan Salah di Anfield.
Salah masih memiliki baki 19 bulan dalam kontrak dan ketika sidang media di negara asalnya, Mesir, penyerang itu berkata dia menyerahkan kepada Liverpool untuk membuat keputusan.
Dalam masa sama, bintang Reds itu turut menjelaskan bahawa dia gembira untuk menamatkan kariernya bersama Liverpool.
“Anda tahu kedudukan pemain seperti Mo. Kami sedang berunding melanjutkan kontrak dengan pemain seperti Mo dan ia tidak boleh hanya dilakukan dengan mudah.
“Ia perkara normal. Mo bercakap tentangnya dan saya hanya boleh katakan beberapa perkara kerana selebihnya adalah rahsia.
“Saya tidak pasti jika dia bercakap dalam bahasa Inggeris atau Arab dan kemudian diterjemah kepada Inggeris. Tetapi Mo baik-baik saja, begitu juga saya. Apa yang kita semua mahukan ialah supaya semuanya jelas dan perkara sebegini memerlukan masa,” jelas Klopp.
Liverpool sudah mengesahkan tempat di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas memenangi keenam-enam perlawanan di peringkat kumpulan dan menghuni tangga ke dua Liga Perdana Inggeris dengan ketinggalan satu mata kepada pendahulu Manchester City.- AGENSI