Sains bekal air melalui lori tangki, tempatkan tangki statik kawasan alami gangguan air - Utusan Malaysia

Sains bekal air melalui lori tangki, tempatkan tangki statik kawasan alami gangguan air

PETUGAS Sains mengisi air bersih berikutan bekalan air terputus untuk dibekalkan. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) akan membekalkan air melalui lori tangki dan menempatkan tangki statik di kawasan yang mengalami gangguan bekalan air sehingga menjejaskan kira-kira 12,000 pengguna di negeri ini.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, ia berikutan pengoperasian beberapa loji rawatan air (LRA) yang ditutup dan pengeluarannya dikurangkan berikutan hujan lebat dan paras air sungai yang meningkat semalam.

“Loji-loji lain di sekitar negeri ini masih juga dalam keadaan berjaga-jaga kemungkinan hujan yang tidak menentu dan mengakibatkan banjir semula.

“Bagaimanapun, pihak Sains akan terus membantu pelanggan yang terkesan dengan membekalkan air melalui lori tangki dan menempatkan tangki statik di kawasan memerlukan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, bagi menangani gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Seremban yang berpunca daripada LRA Pantai, Sains telah menyediakan sebanyak lima buah lori tangki bersaiz ‘jumbo’ dan 13 buah tangki statik untuk ditempatkan di sekitar kawasan terlibat gangguan.

“Bagi LRA Linggi yang membekalkan air ke sebahagian kawasan Port Dickson, Seremban dan Rembau, ia telah beroperasi seperti biasa dan bekalan air mula disalurkan kepada kawasan-kawasan terlibat secara berperingkat.

“Selain itu, LRA Klawang di Jelebu juga mula beroperasi hari ini setelah bekalan elektrik pulih malam tadi. Kawasan yang terlibat dijangka akan mendapat bekalan air seperti biasa,” katanya.

Sementara itu jelas Norzita, LRA Pantai belum dapat beroperasi disebabkan masalah seperti tanah runtuh di cerun sungai berhampiran loji, bekalan elektrik yang terputus dan kerosakan bangunan serta peralatan loji akibat banjir.

“Atas keprihatinan Sains terhadap isu di LRA Pantai ini yang dijangka memakan masa untuk beroperasi semula, kami telah membuat penyambungan paip dari Sungai Terip ke Mendom bagi membantu kawasan di Pantai dan penyambungan paip dari jajaran Batu 5 ke Gunhill bagi kawasan di Sikamat.

“Begitu juga LRA Lakai dan LRA Titi di Jelebu yang masih belum beroperasi akibat bekalan elektrik yang terputus dan jalan masuk ke loji juga menghadapi kesukaran akibat dari runtuhan tebing dan pokok tumbang,” katanya.

Orang ramai yang memerlukan sebarang bantuan, bolehlah menghubungi talian bebas tol SAINS melalui nombor 1-800-88-6982.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya