Saarani jamin tak tanding di Parlimen Larut - Utusan Malaysia

Saarani jamin tak tanding di Parlimen Larut

SAARANI Mohamad (kiri) ketika menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut di Selama hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memberi jaminan beliau tidak akan bertanding di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Larut berkata, beliau akan memberikan semangat dan keyakinan kepada UMNO Larut untuk mengetengahkan calon tempatan dan memenangi PRU-15.

“Saya sudah ambil Bahagian Larut pada waktu mereka kehilangan bapa, sudah tentu saya tidak mahu ia menjadi huru-hara.

“Saya nak balik ke Lenggong. Di sana juga ada Parlimen dan ada calon sendiri di Parlimen Lenggong.

“Saya beri jaminan kepada Bahagian Larut, saya tidak akan bertanding di sini. Saya beri jaminan, saya akan balik ke Lenggong, saya tak nak usik apa-apa di sini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut di sini hari ini.

Saarani ditanya mengenai khabar angin beliau akan bertanding di Parlimen Larut selepas bekas Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Terdahulu dalam ucapannya, Saarani berkata, wakil rakyat UMNO yang meninggalkan parti itu akan menyedari tindakan mereka menyertai parti lain adalah tindakan yang jahil apabila rakyat membuat keputusan menolak mereka dalam PRU-15.

Menurutnya, para perwakilan pada mesyuarat tersebut tahu siapa pemimpin yang dimaksud.

“Saudara dan saudari yang berada dalam dewan ini adalah antara yang pernah merasai peritnya berdepan pengkhianatan apabila pemimpin meninggalkan panji perjuangan tatkala parti berdepan ujian kekalahan.

“Bukan sahaja meninggalkan ahli terkapai-kapai tanpa arah tujuan, malah tergamak melontarkan alasan kononnya melompat parti kerana mahu meninggalkan kejahilan.

“Anda semua tahu siapa yang saya maksudkan. Cuma satu sahaja nasihat saya kepada individu ini, tunggulah tibanya pilihan raya kelak, kita akan lihat siapa yang jahil dan siapa yang akil.

“Kita tidak memerlukan pemimpin yang hanya bertaut ketika senang, dan apabila susah dia menghancurkan. Pengkhianatan itu ibarat lumut yang tumbuh di sela-sela bebatuan, menyelusup dan tumbuh, lalu secara perlahan-lahan menghancurkan,” katanya.

Saarani yang juga Menteri Besar berkata, sesuatu perlu dilakukan bagi menghentikan budaya lompat parti kerana ia bukan sahaja berbahaya kepada parti, tetapi juga kepada negara.

Menurutnya, sehubungan itu UMNO Bahagian Larut menyokong cadangan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said supaya Akta Anti Lompat dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Ia (lompat parti) mesti dihentikan jika kita mahu mengembalikan negara kembali kepada paksi kestabilan.

“Jika dibiarkan, ia bukan sahaja akan menjadi penyakit barah yang akan membinasakan sistem, tetapi akan memangsakan rakyat yang terpaksa berdepan krisis demi krisis politik yang tiada kesudahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya