PETALING JAYA: Pas akan terus memperkasa Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyatukan parti politik Islam demi kepentingan agama serta negara.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, keputusan tersebut dibuat selepas Muzakarah Majlis Syura ‘Ulama yang bersidang semalam.
Selain itu, Pas juga akan melakukan rundingan kerusi antara parti Islam semaksimum mungkin bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum (PRU-15).
“Rundingan tersebut juga dibuat bagi memastikan kemenangan majoriti lebih besar. Semangat Ta’awun Siyaasi dalam MN dan PN hendaklah sentiasa disuburkan pimpinan dan ahli parti-parti politik Melayu Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan.
“Masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan dan mengelak dari menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini . – UTUSAN ONLINE