JERANTUT: Sebuah rumah peneroka binaan simen konkrit dan papan hangus dalam kejadian kebakaran di Felda Padang Piol di sini petang semalam.
Difahamkan, kebakaran berlaku pukul 6.15 petang dan api merebak dengan cepat sehingga memusnahkan keseluruhan rumah milik seorang warga emas, Johari Edrus, 69, yang terletak di Jalan Siantan di tanah rancangan itu.
Ketua Balai Bomba Jerantut, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Zulkilfi Mohd Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam tentang kebakaran itu pada pukul 6.20 petang.
“Seorang pegawai dan 15 orang anggota dari Balai Bomba Jerantut dan Balai Bomba Jengka serta dua buah jentera dan sebuah ambulans EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian dan apabila tiba di situ, rumah itu telah 50 peratus musnah terbakar.
“Kerja pemadaman api dan pemantauan keselamatan terus dilakukan sehingga berakhir pada pukul 9.06 malam tadi,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zulkifli, kejadian kebakaran itu tidak melibatkan kecederaan keluarga mangsa, manakala pihak bomba masih membuat siasatan punca kebakaran dan jumlah taksiran kerugian harta benda.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin ketika dihubungi melahirkan simpati serta memohon pemilik rumah berkenaan, Johari Edrus bersabar dengan ujian Allah SWT.
“Pejabat Perkhidmatan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan akan membantu keperluan kebajikan keluarga mangsa ini dalam tempoh pemulihan selepas kejadian ini.
“Kita juga memohon Jabaran Kebajikan Masyarakat (JKM) Jerantut dan pihak pengurusan Felda Padang Piol supaya dapat membantu keluarga mangsa berkenaan,” jelasnya.
Menurutnya, semoga Allah SWT mengurniakan kesabaran dan pahala yang berlipat ganda buat mangsa serta keluarga berikutan ujian kebakaran berkenaan.