JELEBU: Sepasang suami isteri di Kampung Bandar Tinggi di sini trauma apabila kediaman yang mereka duduki hampir 35 tahun lalu ‘lenyap’ dibawa arus banjir dalam kejadian pada pukul 3 pagi tadi.
Fadilah Itam, 53, berkata, ketika kejadian hari masih hujan dan mereka enam sekeluarga termasuk dua cucu perempuan berusia 10 dan 12 tahun berada di sebuah tempat membasuh kenderaan yang menjadi tumpuan penduduk setempat yang kediaman mereka terjejas banjir.
Menurutnya, semasa kejadian, anaknya, Mohd Faisal Ibrahim, 29, berada di khemah tidak jauh dari rumah dan melihat detik-detik rumah separa kekal mereka terangkat dan terus dihanyutkan banjir.
“Anak datang ke saya dan kata rumah dah tak ada, dah habis dihanyut banjir. Saya takut nak tengok sebab masa tu hujan masih lebat dan air dari Sungai Triang yang terletak kira-kira 20 meter dari kawasan ini melimpah serta membanjiri kawasan sekitar.
“Sementara ini saya akan duduk semula di sebuah rumah di Taman Undang Abdullah. Saya masih trauma sebab 35 tahun duduk tapi hilang sekelip mata, rasa serik dah. Sungai pun dah lama dah makin dekat,” katanya ketika ditemui di Kampung Bandar Tinggi, di sini.
Fadilah berkata, dia tidak menyangka akan berhadapan banjir seteruk itu memandangkan kali terakhir kejadian banjir berlaku sehingga menghampiri paras bumbung rumah ialah pada 2004.
Menurutnya, sekitar pukul 3 petang semalam, air memenuhi halaman depan pekarangan rumah dan surut semula.
“Namun, bermula pukul 6 petang, hujan lebat berterusan dan kami membuat keputusan berpindah ke tempat membasuh kereta berdekatan yang terletak di kawasan yang agak tinggi serta membawa 15 ekor kucing bersama.
“Namun pada pukul 3 pagi, anak beritahu rumah dah hanyut dibawa air sekali dengan barang-barang seperti mesin basuh, peti sejuk, mesin rumput dan lain-lain lagi,” katanya.
Sementara itu, suami mangsa, Ibrahim Taib, 62, berkata, pagi ini dia pergi ke lokasi bagi melihat barangan yang masih boleh diselamatkan.
Menurutnya, hanya atap rumah yang masih berada di tepi jalan utama, namun barang-barangan serta struktur kayu rumah sudah hanyut dibawa banjir.
“Mujur saya ada jumpa dua tabung dan hanya satu tabung sahaja yang masih penuh, satu lagi tutupnya sudah terbuka dan hanya tinggal sedikit,” katanya.