KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini gagal untuk menghalang Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapinya yang dijadualkan bermula Januari 2022.
Hakim tersebut ketika membaca penghakiman ringkasnya menyatakan, sebagai seorang hakim, antara tanggungjawab yang perlu dipikulnya ialah memastikan kepentingan Rosmah atau mana-mana tertuduh diprejudiskan.
“Saya telah mengambil langkah sepatutnya untuk memastikan bahawa tertuduh (Rosmah) tidak akan diprejudiskan dana kes membabitkan pengubahawan wang haram apabila kenyataan (yang dirakam dalam kes pengubahan wang haram) dirujuk dalam kes solar.
Tambahan pula, telah menjadi tanggungjawab dan janji tugas saya dan mana-mana hakim untuk memastikan bahawa tertuduh (Rosmah) atau mana-mana teruduh dibicarakan secara adil sebagaimana termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” kata hakim itu.
Tambahnya, seseorang hakim perlu membuat pertimbangan dan penilaian secara berasingan dan bebas terhadap bukti-bukti yang dikemukakan ke mahkamah.
“Apa juga dapatan yang saya buat dalam kes solar, akan kekal di kes itu. Malah keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes membabitkan (Datuk Seri) Tengku Adnan Mansor turut menyatakan, berbanding juri, seseorang hakim telah terlatrih dengan undang-undang untuk kekal bebas dan tidak berat sebelah dalam menilai fakta berhubung sesuatu kes,”katanya.
Selain itu, hakim itu turut menyatakan, pihak pendakwaan dalam kes solar telah meyakinkannya bahawa isu yang ingin dikemukakan dalam kes solar tidak mempunyai kaitan dengan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai itu.
Sehubungan itu, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan Rosmah agar beliau dihalang daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.
Hakim tersebut kini sedang mendengar perbicaraan kes Rosmah rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak (kes solar) yang kini memasuki peringkat bela diri.
Pada 21 Oktober lalu, Hakim Mohamed Zaini membenarkan permohonan pihak pendakwaan dalam kes solar untuk mengguna pakai kenyataan Rosmah yang dirakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sewaktu siasatan kes pengubahan wang haram dan pengelakkan cukai untuk mencabar kredibiliti wanita terbabit.
Selepas mahkamah membuat keputusan tersebut, peguam bela Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya sama ada akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.
Pada 2 November lalu, Rosmah memfailkan permohonan tersebut bagi menghalang Hakim Mohamed Zaini yang sedang mendengar kes rasuah wanita itu berkaitan projek solar hibrid di Sarawak untuk terlibat dalam perbicaraan kes membabitkan tuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.
Menurut notis tersebut, keterangan dan eksibit-eksibit yang telah dikemukakan di dalam perbicaraan kes solar yang mana ia secara langsung dan tidak langsung boleh mempengaruhi Hakim Mohamed Zaini sekiranya beliau mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Rosmah.
Pada 4 Oktober 2018, Rosmah didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.
Perbicaraan kes itu dijadualkan untuk bermula pada 12 Januari 2022. – UTUSAN ONLINE